Menteri Hal Ehwal Ugama terima kunjungan hormat





Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

 


BERAKAS, Sabtu, 24 Januari. - Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman petang tadi menerima kunjungan hormat daripada Majlis Belia Brunei (MBB).


Kunjungan hormat diadakan di Bilik Dhiyafah, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Jalan Dewan Majlis.


Kunjungan hormat tersebut diketuai oleh Yang Di-Pertua MBB bagi Sesi 2026-2028, Dayang Nurul Izyan Anver, bersama barisan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (AJKTTP) dan Ahli Jawatankuasa Tadbir Pusat (AJKTP) MBB yang baru dilantik.


Kunjungan hormat petang tadi adalah susulan pelantikan rasmi barisan kepimpinan MBB bagi Sesi 2026-2028 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026 selaras dengan keputusan Kongres Agung Perwakilan (KAP) MBB Kali Ke-8.


Kunjungan tersebut membuka ruang kepada pertukaran pandangan sekali gus memperkukuhkan kerjasama mengenai pembangunan dan pemerkasaan belia Islam di Negara Brunei Darussalam (NBD) setara dengan peranan MBB sebagai rakan strategik kepada KHEU dalam pelaksanaan program dan inisiatif di bawah fokus strategik 'Potensi Belia' MABIMS yang mana NBD bertindak sebagai negara penyelaras, dengan pelaksanaan diuruskan oleh KHEU melalui Sekretariat MABIMS NBD.


Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama mengalu-alukan kunjungan hormat berkenaan serta menyatakan sokongan terhadap peranan MBB sebagai badan penyelaras utama gerakan belia di NBD yang bekerjasama rapat dengan kementerian dan agensi kerajaan serta rakan strategik serantau dalam memajukan kepimpinan, penyertaan dan pembangunan belia sejajar dengan fokus strategik 'Potensi Belia' di bawah MABIMS demi pembangunan belia NBD yang holistik, berdaya saing serta berteraskan nilai-nilai Islam dan kenegaraan.


Hadir sama di majlis kunjungan hormat tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Awang Misle bin Haji Abd. Karim; dan Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS, Awang Haji Mohammad Albi bin Haji Ibrahim.


Close